Resepi Miang Pla Pao (Beserta Sos Hijau dan Merah)

Hai semua bertemu lagi kita pada kali ini untuk tutorial resepi yang lain. Pertama sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung Dapur Osyom dimana sahaja anda berada. Terima kasih kerana memberi sokongan yang berterusan kepada team kami. Dalam tutorial pada kali ini team kami akan cover resepi berkaitan ikan. Namun ianya sedikit unik walaupun popular. Resepi yang dimaksudkan ialah resepi miang pla pao.

Apa yang menariknya tentang resepi yang berasal dari Thai namun popular juga di Malaysia ini, ianya tidak melibatkan proses menggoreng, tetapi sebaliknya membakar. Jadi secara tidak langsung makanan ini boleh dikategorikan agak sihat dan sesuai untuk orang yang nak diet, betul kan? Hehehe.. Disebabkan prosesnya, jadi ianya tidak hanya boleh dibuat dirumah malah ketika outdoor atau berkhemah juga. Yang pernah menikmati pasti tahu rasanya. Namun bagi anda yang baru mengenali atau baru ingin belajar, jom ikuti cara membuat miang pla pao di bawah.

Bahan Bahan

bahan bahan miang pla

  • 1 ekor ikan siakap
  • 2 batang serai – dititik
  • 3 helai daun limau purut
  • Tepung gandum
  • Garam

Bahan Bahan Sampingan

  • Suhun / Laksa siam – dicelur
  • Daun salad
  • Daun selasih
  • Timun

Bahan Bahan Sos Cili Hijau

bahan sos cili hijau miang pla

  • 4 ulas bawang putih
  • 8 biji cili hijau
  • ¼ cawan air perahan limau nipis
  • 1 sudu besar nisan padi / gula
  • Daun ketumbar

Bahan Bahan Sos Cili Merah

bahan sos cili merah miang pla

  • 4 ulas bawang putih
  • 5 biji cili merah
  • ¼ cawan air perahan limau nipis
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar gula
  • Daun ketumbar

Cara Membuat Miang Pla Pao

  1. Pertama sekali, bersihkan ikan tadi. (tidak perlu buang sisik).
  2. Kemudian, masukkan serai dan diikuti daun limau purut ke dalam perut ikan. step 2 resepi miang pla
  3. Seterusnya sapukan garam sehingga rata pada kedua-dua belah bahagian ikan.
  4. Setelah itu, sapukan pula tepung gandum pada keseluruh bahagian ikan tersebut. step 4 resepi miang pla
  5. Kemudian, letakkan ikan tersebut ke atas aluminium foil, dan balutkannya dengan kemas. step 5 resepi miang pla
  6. Sejurus selepas itu, panaskan pan, dan letakkan ikan yang siap berbalut aluminium foil ke atasnya untuk dibakar. Pastikan ikan dibakar sehingga masak pada kedua-dua belah bahagian. step 6 resepi miang pla

Cara Membuat Sos Cili Hijau

  1. Masukkan bawang putih, akar ketumbar dan cili hijau ke dalam pengisar dan kisarkan sehingga lumat.
  2. Masukkan bahan kisaran tersebut ke dalam satu bekas, dan kemudian masukkan air perahan limau nipis, nisan padi, sedikit garam, dan hirisan daun ketumbar.
  3. Kacaukan semuanya sehingga sebati dan siap.

Cara Membuat Sos Cili Merah

  1. Masukkan bawang putih, akar ketumbar, dan cili merah ke dalam pengisar dan kisarkan sehingga lumat.
  2. Masukkan bahan kisaran itu ke dalam sebuah bekas yang berlainan. Kemudian masukkan air perahan limau nipis, disusuli sos tiram, gula, sedikit garam, dan hirisan daun ketumbar.
  3. Kacaukan kesemua bahan itu hingga sebati dan sos cili merah juga telah siap.

Tips Tambahan

  1. Ikan tidak perlu dibuang sisiknya.
  2. Tidak mengapa jika meletakkan banyak garam kerana fungsinya adalah untuk memerangkap haba, jadi isi ikan menjadi lembut (jangan risau kerana ikan tidak akan menjadi masin kerana ada sisik).
  3. Jika tiada siakap anda boleh gantikannya dengan ikan yang lain seperti talapia.
  4. Pastikan gandum betul-betul bersalut dengan ikan. Tidak mengapa jika tebal.
  5. Jika tiada suhun, boleh juga digantikkan dengan laksa siam.
  6. Boleh juga membakar ikan menggunakan arang untuk lebih aroma atau boleh juga membakarnya di dalam oven dengan suhu 170° selama 20 minit. Bergantung oven masing-masing.

Video Youtube

Selesailah sudah tutorial tentang cara untuk menyediakan miang pla pao. Apa pendapat anda, mudah? Setelah mempelajari cara membuat resepi miang pla pao ini saya berharap anda cuba untuk mempraktikannya sendiri. Mana tau, dengan first try terus menjadi, anda pastinya seronok. Namun jika sebaliknya berlaku, anda tetap kena teruskan mencuba. Buya Hamka pernah berkata “Jangan takut gagal, kerana orang yang tidak pernah gagal, hanyalah orang yang tidak pernah melangkah”.  Jadi, jika anda dapat sesuatu yang bermanfaat dari tutorial resepi pada kali ini, kongsi-kongsikanlah kepada keluarga dan sahabat handai anda semua. Teruskan juga sokongan ke atas kami. Sampai disini sahaja buat kali ini. Jumpa lagi di tutorial resepi akan datang. Terima kasih.

Kongsikan Resepi