Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat datang kembali ke tutorial resepi yang akan disediakan oleh team Dapur Osyom. Untuk pengetahuan anda, pada kali ini team kami akan mengajarkan sebuah resepi ringkas berasaskan ikan, tetapi agak popular dalam golongan tertentu terutamanya orang kampung.
Resepi singgang ikan tongkol adalah yang kami maksudkan untuk tutorial pada kali ini. Apa yang kami boleh katakan singgang ini boleh dikategorikan sebagai sup juga secara teknikalnya. Apa yang uniknya tentang resepi ikan singgang ini, ianya tidak memerlukan banyak step untuk menghasilkannya, bahkan tiada tumisan mahupun penggunaan minyak. Jadi ikan singgang ini boleh dikatakan merupakan sebuah resepi yang sihat dan sangat sesuai untuk anda yang menitikberatkannya. Jadi, tanpa berlengah lagi, jom kita mulakan tutorial resepi ikan singgang tongkol ini sekarang.
Bahan Bahan
- 1 ekor ikan tongkol hitam
- 12 ulas bawang putih
- 1 biji bawang merah
- 3 inci lengkuas
- ½ inci kunyit
- 5 keping asam gelugur
- 1 sudu kecil budu ( optional )
- Lada besar
- Bendi
Cara Membuat Ikan Singgang Tongkol
- Langkah pertama, masukkan air ke dalam periuk, disusuli bawang putih, bawang merah, lengkuas, kunyit, dan asam gelugur. Boleh tambahkan budu jika suka (optional sahaja) dan kacau kesemua bahan tersebut sebati.
- Masak kesemua bahan itu sehingga mendidih. Biarkan kuah menggelegak selama 10-15 minit.
- Setelah itu, perasakan dengan garam dan gula dan kacau.
- Masukkan pula lada besar, dan disusuli bendi.
- Apabila bendi sudah lembut, masukkan ikan ke dalam periuk tersebut.
- Pastikan anda mengacaunya secara perlahan agar ikan tidak hancur.
- Akhir sekali, masukkan cili padi jika suka.
- Bila ikan sudah masak, bolehlah tutup api. Ikan singgang tongkol anda telah siap dan sedia dihidangkan.
Video Youtube
Begitulah mudahnya untuk menyediakan resepi ikan singgang ini. Kami pasti sesiapa yang mengikuti tutorial ini, akan boleh melakukannya sendiri di rumah. Menu ini biasanya dihidangkan dengan nasi putih dan mungkin juga bersama ulam-ulaman. Penggemarnya pasti menambah nasi bila terkena dengan penangan singgan ikan ini. Baiklah, sampai disini sahaja untuk kali ini. Sebagai tanda sokongan sudilah untuk berkongsi resepi ini kepada keluarga dan sahabat handai anda. Jumpa lagi pada tutorial resepi akan datang. Sekian, terima kasih.