Resepi Brownies Kedut Yang Mudah dan Tersangat Sedap

Hai semua dan selamat datang ke tutorial resepi oleh team Dapur Osyom lagi. Tutorial kali ini, team kami akan cover dengan sebuah resepi kek yang viral. Yang kami maksudkan adalah resepi brownies. Kek brownies ini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di pasaran kerana rasanya yang lazat dek kerana menggunakan coklat yang mahal. Namun, ada kalanya yang dijual itu terlalu manis, dan memutuskan selera si penggemarnya.

Soal untuk menghasilkan brownies yang berkedut ianya tidaklah begitu sukar jika kena dengan cara penyediaannya (akan kami ajarkan di dalam post ini). Jika anda yang kurang faham apa itu “kedut” pada kek brownies ini, ianya adalah bentuk crack pada tekstur permukaan atas kek. Adapun soal harga, walaupun agak tinggi berbanding rata-rata kek viral dipasaran, penggemarnya masih mahu membeli kerana tahu akan kelazatan kek ini yang unik ditambah pula dengan rasa coklat yang mewah. Cuma cadangan saya, adalah lebih baik anda hasilkannya sendiri kerana ianya akan lebih puas hati, dan itulah tujuan tutorial pada kali ini saya buat. Ikuti secara step by step yang kami ajarkan di bawah ini, anda akan beroleh sebuah kek brownies yang berkedut. Jom lihat cara membuat kek brownies di bawah.

Bahan Bahan

bahan-bahan kek brownies kedut

  • 400 g dark chocolate ( Beryl’s )
  • 150 g buttercup
  • 4 biji telur gred A
  • 100 g gula kastor
  • 100 g gula perang
  • 100 g tepung gandum
  • 30 g serbuk koko
  • ¼ sudu kecil serbuk penaik

Cara Membuat Brownies Kedut

  1. Pertama sekali, pecahkan telur ke dalam bekas, dan kemudian masukkan gula perang. Kacaukannya secara perlahan-lahan sehingga gula larut. Setelah itu ketepikan.
  2. Kemudian didihkan air di dalam periuk kecil, dan setelah itu letakkan periuk yang lebih besar ke atasnya (kaedah double boil, sila rujuk tips dibawah untuk penerangan).
  3. Masukkan dark chocolate ke dalam periuk yang berada di atas tadi, dan disusuli dengan buttercup. Masakkannya sehingga coklat cair. step 3 resepi brownies
  4. Tuangkan adunan coklat (panas) ke dalam adunan telur dan gula yang kita sediakan di awal tadi. step 4 resepi brownies
  5. Kacaukannya sehingga sebati, dan kemudian sediakan penapis di atasnya. Masukkan serbuk koko, tepung gandum, dan serbuk penaik dan dalam penapis tersebut. step 5 resepi brownies
  6. Ayakkan kesemua bahan di dalam penapis itu ke dalam adunan coklat di bawahnya.
  7. Setelah itu, gaulkan kesemuanya sehingga rata.
  8. Tuangkan adunan tersebut ke dalam loyang 9×9 inci yang telah dilapik dengan kertas kek (baking paper). step 8 resepi brownies
  9. Hentakkan loyang tersebut beberapa kali, untuk membuang udara dalam kek.
  10. Bakar adunan tersebut di dalam oven yang telah dipanaskan 10 minit lebih awal.
  11. Setkan suhu pembakaran sebanyak 150 darjah celcius, dengan masa pembakaran  selama 40 minit. Pastikan ianya diletakkan di rak tengah. Bila sudah masak biarkan brownies seketika (rujuk tips dibawah).
  12. Akhirnya Brownies kedut anda telah siap dan sedia untuk dihidangkan.

Tips Tambahan

  1. Apa yang dimaksudkan dengan teknik double boil adalah pemanasan dengan menggunakan periuk bertingkat, yang mana dibawahnya mengandungi periuk berisi air, dan di atasnya pula periuk yang diisi dengan bahan yang ingin menggunakan kaedah ini. Dalam resepi ini ianya adalah coklat. Jadi, dalam erti kata lain, ianya adalah pemanasan menggunakan wap/haba panas dan tidak direct dari api. Kelebihan teknik ini ialah kita dapat mencairkan coklat tanpa mengubah warna dan rasa asalnya.
  2. Selain itu, bekas untuk kita letak coklat juga mestilah kering, sebab itu juga teknik ini digunakan.
  3. Adalah lebih baik anda gunakan coklat yang berkualiti seperti yang kami cadangkan untuk rasa yang lebih mewah dan sedap.
  4. Telur dan gula jangan dikacau terlalu lama dan kuat. Cukup sekadar untuk gula larut sahaja.
  5. Tepung gandum pula, boleh diganti dengan tepung naik sendiri ( jika ini digunakan tidak perlulah memasukkan serbuk penaik).
  6. Pastikan tuang coklat ke dalam adunan telur dan gula semasa coklat masih lagi panas. Tidak perlulah sejukkan coklat terlebih dahulu.
  7. Oven pula mestilah dipanaskan terlebih dahulu, sebelum memasukkan adunan kek untuk dibakar.
  8. Bila sudah masak pula, renggangkan pintu oven dan biarkan brownies di dalam selama 15 minit sebelum di ambil.

Video Youtube

Jadi selesailah sudah tutorial resepi brownies kedut kita pada kali ini. Stepnya dilihat agak panjang di dalam tulisan, namun bila dipraktikkan ianya cukup simple dan mudah. Cuma apa yang penting, anda ikuti semua kaedah, bahan dan tips yang team kami sediakan agar brownies anda menjadi crack/berkedut serta rasanya pun sedap dan mewah. Cubalah sendiri di rumah, dan anda tidak lagi perlu mengeluarkan wang untuk membeli kek brownies ini lagi. Baiklah, jika anda memperolehi sesuatu yang bermanfaat dari tutorial resepi pada kali ini, silalah kongsikan kepada orang yang terdekat dengan anda sebagai tanda sokongan anda kepada kami. Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada resepi yang lain pula.

Kongsikan Resepi