Assalamualaikum. Selamat datang lagi ke tutorial resepi kami. Kerana kita masih lagi berada di dalam bulan puasa, maka kuih muih memang tidak asing lagi dan sentiasa dicari oleh peniaga atau suri rumah sebagai makanan untuk moreh. Untuk kali ini team Dapur Osyom akan mengajarkan resepi onde onde gula melaka kepada anda semua.
Mempunyai rasa yang unik, dek kerana mempunyai inti gula melaka, ianya pasti menjadi kegemaran mereka yang gemarkan kuih muih yang ada sejak turun temurun ini. Onde onde gula melaka ini juga dipanggil sebagai buah melaka di sebahagian tempat bahkan di Kelantan ada yang memanggilnya dengan nama kuih kekoh char. Tidak kisah tentang nama, yang penting ianya adalah resepi yang sama sahaja. Jom kita mulakan cara buat onde onde gula melaka ini.
Bahan Bahan
- 1 plastik tepung pulut
- 1 biji kelapa parut
- 2 keping gula melaka
- 8 helai daun pandan
- 1 sudu kecil air kapur makan
- Air secukupnya
Cara Membuat Onde Onde Gula Melaka
- Pertama sekali, kisah daun pandan dan air di dalam blender.
- Setelah itu, tapis daun pandan dan ambil airnya.
- Kemudian, potong gula melaka menjadi kiub kiub kecil.
- Seterusnya sediakan pinggan yang mengandungi kelapa parut, dan masukkan sedikit garam. Gauk sehingga sebati semuanya.
- Boleh kukus terlebih dahulu kelapa parut selama 5-10 minit supaya ianya lambat basi.
- Masukkan tepung pulut ke dalam sebuah bekas, masukkan air kapur makan, dan tuang air dapun pandan yang ditapis di awal tadi sedikit demi sedikit ke dalamnya. Uli sehingga doh tidak melekat di tangan.
- Sediakan satu bekas lagi, dan taburkan sedikit tepung supaya doh tidak melekat.
- Ambil secubit doh, leperkan dan letak gula melaka ditengah.
- Tutup rapat gula melaka dan bulatkan sekata. Ulang sehingga kesemua doh habis digunakan.
- Seterusnya sediakan periuk di atas dapur dan masukkan air yang banyak ke dalamnya. Dan biarkan air mendidih.
- Masukkan doh yang telah dibulatkan tadi ke dalam air ini. Bila sudah terapung, bolehlah angkat dan masukkan ke dalam kelapa parut pula.
- Gaulkan dengan kelapa parut ketika ianya masih panas agar tersalut rata. Lakukan untuk kesemua doh, dan onde onde gula melaka anda siap untuk dihidangkan.
Video Youtube
Jadi begitulah caranya untuk buat onde onde gula melaka. Saya berharap anda dapat mempelajarinya dengan baik untuk tutorial pada kali ini. Jangan lupa untuk share resepi resepi dari kami sebagai tanda sokongan anda kepada kami. Terima kasih.