Assalamualaikum. Terima kasih kerana terus berkunjung ke website kami untuk resepi-resepi terbaru, resepi tradisional, dan resepi evergreen. Baiklah, pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda semua sebuah resepi yang amat popular tatkala bulan puasa. Resepi yang dimaksudkan ialah resepi butir nangka.
Butir nangka memang tidak asing lagi di bulan Ramadhan, bahkan hampir setiap bazar Ramadhan yang dikunjungi pasti ada yang menjualnya. Jadi, boleh dikatakan butir nangka ni popularitinya bermusim. Jadi, daripada membelinya, apa kata anda sendiri membuat butir nangka ini sendiri. Berikut merupakan bahan dan cara membuat butir nangka.
Bahan-Bahan
- 1 paket tepung pulut
- 10 helai daun pandan
- 200ml santan pekat
- 4 1/2 cawan air
- 1/2 cawan gula
- 1 sudu besar halba
- 1 sudu kecil kapur
Cara Membuat Butir Nangka
- Pertama sekali, masukkan daun pandan dan 2 cawan air ke dalam blender. Kemudian tambah sedikit pewarna hijau dan kisar kesemua itu sehingga daun pandan hancur.
- Tapiskan bahan kisaran tadi ke dalam bekas yang berasingan.
- Dalam bekas yang lain, masukkan tepung pulut.
- Masukkan kapur makan dan sedikit air pandan tadi. Ulinya sebati.
- Teruskan tambah air pandan sedikit demi sedikit semasa anda menguli.
- Uli sehingga doh tidak melekat di tangan.
- Setelah itu, gentel adunan yang siap diuli tadi menjadi bentuk bujur dan masukkan ke dalam air mendidih yang berada di atas dapur.
- Angkat adunan(butir nangka) yang sudah terapung dan masukkan ke dalam bekas lain yang mengandungi air biasa.
- Setelah itu, gunakan periuk yang lain, masukkan 4 1/2 cawan air dan santan.
- Seterusnya masukkan adunan(butir nangka) yang sudah ditapis airnya ke dalam periuk ini.
- Tambah biji halba serta masukkan gula dan sedikit garam.
- Sentiasa kacau untuk mengelakkan santan berketul.
- Bila sudah mendidih, bolehlah tutup api. Setelah itu sedia dihidangkan.
Jadi, begitulah langkah-langkah untuk membuat butir nangka. Selamat mencuba kami ucapkan dari team Dapur Osyom. Jika anda inginkan tutorial butir nangka ini secara video bolehlah lihat dibawah atau untuk resolusi yang penuh boleh layari channel Youtube kami. Untuk lebih banyak lagi resepi, teruskan melayari website kami, dan channel kami juga untuk tutorial secara video yang lebih mudah difahami. Jangan lupa untuk berkongsi dengan keluarga dan sahabat handai tentang resepi kami ini. Sekian.