Selamat datang kepada anda semua pengunjung setia website Dapur Osyom. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan bagi semua yang bergama Islam. Untuk tutorial resepi pada kali ini kami nak cover resepi masakan panas yang agak sinonim di kedai masakan thai. Ianya resepi berasaskan kuey teow. Tidak lain dan tidak bukan apa yang kami maksudkan adalah resepi kuey teow kungfu.
Resepi ini tidak kurang popular juga sebenarnya. Masakan tidak, hampir setiap kedai yang menyediakan masakan panas akan ada memaparkan menu kuey teow kungfu ini. Jadi, saya boleh simpulkan bahawa resepi ini ada golongan peminatnya yang tersendiri. Secara teknikal menu ini boleh dikategorikan sebagai menu berkuah juga, sebab itu menjadi tarikan mengapa orang menggemari kuey teow kungfu ini. Namun, penyediaannya tidaklah susah seperti yang anda bayangkan dan saya pasti anda boleh mencubanya sendiri di rumah. Jadi, tanpa berlengah lagi, jom kita lihat bagaimana cara buat kuey teow kungfu ini.
Bahan Bahan Kuah Kuey Teow Kungfu
- 1 labu bawang putih
- 1 mangkuk isi ayam
- 1 mangkuk udang
- 1 mangkuk sotong
- 1 mangkuk kailan
- 1 mangkuk kubis bunga
- ½ biji lobak merah
- 1 biji tomato
- 4 biji cili padi
- 3-5 sudu besar tepung jagung
Bahan Bahan Kuey Teow Kungfu
- 1 plastik kuey teow
- Tepung jagung
- Lada sulah
- Telur
Cara Membuat Kuah Kuey Teow Kungfu
- Pertama sekali, panaskan sedikit minyak ke dalam kuali, dan tumiskan bawang ptuih sehingga naik bau.
- Seterusnya masukkan isi ayam dan kacau sehingga isi ayam bertukar warna.
- Setelah itu, masukkan air secukupnya dan biarkan sehingga air mendidih.
- Kemudian, masukkan 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam/lada sulah.
- Disusuli pula dengan memasukkan sotong dan udang, dan kacau sedikit.
- Seterusnya, perasakan dengan garam dan gula atau boleh juga 1-2 ketul kiub ayam jika suka.
- Masukkan pula lobak merah, kubis bunga, batang kailan, dan masak sehingga sayur tersebut lembut sedikit.
- Seterusnya masukkan daun kailan, cili padi, dan bancuhan tepung jagung secukupnya. Kacau kesemuanya sehingga sebati.
- Akhir sekali, masukkan tomato dan biarkan seketika sebelum tutup api.
Cara Goreng Kuey Teow Kungfu
- Pertama sekali pecahkan, 1 atau 2 biji telur ( mengikut kuantiti kuey teow).
- Kemudian, masukkan sedikit tepung jagung dan lada sulah ke dalam telur tersebut. Kacau sehingga sebati.
- Masukkan seikit kuey teow dalam sebatian telur tersebut dan kacau.
- Seterusnya, dapatkan kuali yang kosong dan panaskan sedikit minyak. Masakkan kuey teow tadi sehingga garing, dan terbalikkan. Setelah masak angkat dan letakkan ke dalam pinggan, dan hidangkan bersama kuah yang kita hasilkan di awal tadi.
Video Youtube
Jadi, begitulah cara lengkap bagaimana untuk membuat kuey teow kungfu simple dan sedap. Semoga anda yang mempelajari resepi ini dapat mempraktikkan di rumah anda. Jika anda merasakan tutorial kali ini bermanfaat buat anda, jangan lupa kongsikan kepada saudara-mara dan sahabat handai anda juga. Sekian, terima kasih.